Thursday, 16 June 2011

Golongan Kata

GOLONGAN KATA (KATA TUGAS)



          Dalam bahasa Melayu terdapat empat golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas. Kesemuanya menimbulkan masalah kepada para pelajar. Tetapi yang paling menyulitkan ialah golongan kata tugas.
          Yang menjadikan kata tugas bermasalah ialah kepelbagaiannya. Bukan sahaja jumlahnya besar, tetapi jenisnya amat pelbagai sehingga mengelirukan. Untuk memulakannya, kita hendaklah faham dan tahu akan definisinya serta cara menjenis-jeniskan golongan kata ini.



KATA TUGAS

          Kata tugas ialah satu kelompok perkataan yang kehadirannya dalam ayat penting kerana tugas-tugas sintaksis yang dipikulnya. Tiap-tiap jenis kata tugas mempunyai peranan tertentu, yang jikalau tidak hadir dalam ayat, sama ada akan merosakkan ayat itu atau mengurangkan maksud-maksud tertentu. Tidak seperti tiga golongan kata yang lain dalam bahasa Melayu, iaitu kata nama, kata kerja, dan kata adjektif, kata tugas tidak berfungsi sebagai inti sesuatu frasa. Kata tugas hadir dalam ayat, sama ada di bahagian hadapan ayat, di bahagian hadapan frasa, atau di belakang perkataan-perkataan tertentu untuk memberikan makna khusus atau memainkan peranan sintaksis tertentu dalam ayat berkenaan.
          Oleh itu, dari segi kehadiran kata tugas dalam ayat, dapat dibahagikannya kepada empat, iaitu:
1.           Sebagai perkataan yang menghubungkan ayat dengan ayat (kata hubung)

2.           Sebagai perkataan yang hadir di hadapan ayat atau klausa (kata praklausa)

3.           Sebagai perkataan yang hadir di hadapan frasa (kata prafrasa)

4.           Sebagai bentuk perkataan yang hadir selepas perkataan-perkataan tertentu (kata pascakata)


Kata Hubung

          Kata hubung terdiri daripada empat subjenis, iaitu kata hubung gabungan, kata hubung pancangan keterangan, kata hubung pancangan relatif, dan kata hubung pancangan komplemen.
          Jumlah kata hubung gabungan dalam bahasa Melayu amat besar, antaranya, dan, tetapi, atau, serta, seraya, sambil, dan lalu. Demikian juga dengan kata hubung pancangan keterangan; antaranya, walaupun, kerana, hingga, jikalau, untuk, dan apabila. Sebaliknya, hanya terdapat satu kata hubung pancangan relatif, iaitu yang. Jumlah kata hubung pancangan komplemen juga tidak banyak, antaranya, bahawa, untuk, dan supaya.


Kata Praklausa

          Golongan katat praklausa pula terbahagi kepada lima subjenis, masing-masing hadir di hadapan ayat dan masing-masing memikul tugas tertentu. Subjenis kata praklausa ialah kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar, dan kata pangkal ayat.

Kata Seru

          Kata seru ialah perkataan yang digunakan untuk menyampaikan perasaan-perasaan seperti marah, sakit, hairan, geram, terperanjat, dan ejekan. Sebagai contoh ialah perkataan cis dan aduh dalam ayat-ayat yang berikut:
         
1.     Cis, penakut rupanya!
2.     Aduh, sakitnya kakiku!

Perhatikan bahawa dalam ayat seru, kata seru berada di hadapan ayat
dan pada akhir ayat diletakkan tanda seru (!).

Kata Tanya

          Kata tanya digunakan untuk menanyakan sesuatu. Lazimnya kata tanya disertai bentuk penegas –kah dan hadir di bahagian hadapan ayat. Misalnya:
         
1.     Bilakah awak hendak ke pejabat pos?
2.     Berapakah harga buku itu?

Perhatikan bahawa dalam ayat yang mengandungi kata tanya (iaitu
ayat tanya), terdapat tanda soal (?) di bahagian akhir ayat tersebut.

Kata Perintah

          Kata perintah ialah kata tugas yang hadir di hadapan ayat perintah. Terdapat banyak jenis ayat perintah, iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan, dan ayat permintaan. Maka terdapat pelbagai jenis kata perintah. Misalnya, jangan, usah, sila, jemput, minta, dan tolong. Perhatikan contoh-contoh dalam ayat yang berikut:

1.     Jangan ambil buku daripada almari itu.
2.     Sila masuk ke dewan sekarang juga.
3.     Tolong kembalikan borang ini sebelum akhir bulan.

Kata Pembenar dan Kata Pangkal Ayat

          Dua lagi kata tugas dalam subjenis kata praklausa ialah kata pembenar dan kata pangkal ayat, masing-masing tidak begitu kerap digunakan dalam bahasa Melayu dan tidak pula menimbulkan kesukaran. Contoh kata pembenar ialah benar dan ya, sementara contoh kata pangkal ayat ialah maka, arakian, hatta, dan sebermula.


Kata Prafrasa

          Yang agak besar jumlahnya dan yang kerap menimbulkan masalah ialah golongan yang ketiga, iaitu kata prafrasa. Jumlah subjenis golongan ini ialah lapan, iaitu kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata pemeri, kata sendi nama, kata arah dan kata bilangan. Bukan sahaja jumlah subjenisnya banyak, tetapi jumlah perkataan dalam setiap subjenis juga banyak dan hampir semuanya mempunyai kekerapan yang tinggi dalam bahasa Melayu. Kata sendi nama, misalnya terdiri daripada satu jumlah yang besar dan kompleks penggunaannya. Subjenis kata bilangan juga kompleks, dan para pelajar selalu keliru tentang penggunaan kata nafi serta kata pemeri.


Kata Bantu

          Kata bantu ialah perkataan yang hadir di hadapan kata kerja dan kata adjektif untuk memberikan maksud tertentu. Terdapat dua jenis kata bantu dalam bahasa Melayu, iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Kata bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu masa lampau (telah, sudah, dan pernah), masa kini (sedang dan masih), atau masa hadapan (akan dan belum). Kata bantu ragam pula menyampaikan maksud ragam perasaan, misalnya hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dan dapat. Contoh penggunaan kata bantu dalam ayat ialah:

1.     Mereka sedang menajalani latihan di pusat sukan.
2.     Pisang itu masih muda lagi.

Kata Penguat

          Kata penguat ialah perkataan yang hadir di hadapan frasa atau kata adjektif untuk menguatkan maksudnya. Kadang-kadang, kata penguat boleh juga hadir di belakang kata adjektif. Contoh kata penguat ialah paling, agak, terlalu, amat, sangat, dan sungguh. Contoh dalam ayat ialah:

1.     Pelajar itu sungguh rajin.
2.     Karangan Anita agak baik.

Kata Penegas

          Kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu:
1.           Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya. Contoh kata penegas jenis ini ialah –kah, -tah, dan –lah.

2.           Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau sebahagiannya atau frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contoh kata penegas jenis ini ialah juga, jua, pun, sahaja, lagi, hanya, dan memang.

Beberapa contoh kata penegas dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1.     Itulah ibu pejabat persatuan kami.
2.     Hanya Ali yang telah sampai ke rumah.

Kata Nafi

          Kata nafi hadir di hadapan frasa predikat untuk menafikan maksud yang terkandung dalam frasa tersebut. Terdapat dua kata nafi, iaitu tidak dan bukan, dengan peraturan tertentu tentang penggunaannya. Peraturan inilah yang kurang diketahui oleh para pengguna bahasa, sehingga menimbulkan kesulitan. Sebenarnya, jikalau dipelajari dan difahami peraturan ini, penggunaan kata nafi tidak akan menjadi masalah.
          Kata nafi bukan hadir di hadapan frasa atau kata nama dan frasa atau kata sendi nama, seperti ternyata dalam contoh yang berikut:

1.     Encik Ahmad bukan guru sukan kami.
2.     Dia bukan dari sekolah asrama penuh.

Kata nafi tidak pula hadir dalam ayat yang frasa predikatnya terdiri
daripada frasa / kata kerja dan frasa / kata adjektif, seperti dalam ayat-ayat yang berikut:
         
1.     Tetamu dia tidak datang.
2.     Pelajar itu tidak cergas sangat.

Kata Pemeri

          Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri, iaitu:

1.           Ialah, yang hadir di hadapan frasa nama dalam predikatnya. Contohnya:
1.     Projek yang baru dirasmikan itu ialah salah satu projek bagi membasmi kemiskinan.

2.           Adalah, yang hadir di hadapan prediakt yang terdiri daripada frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contohnya:
a)           Dengan predikat frasa sendi nama
1.     Sumbangan yang terbesar adalah daripada penduduk-penduduk kampung tersebut.
b)          Dengan predikat frasa adjektif
1.     Cadangan para pelajar itu adalah sangat baik.
 












Kata Sendi Nama

          Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Jumlah kata sendi nama dalam bahasa Melayu agak banyak, masing-masing dengna cara penggunaan tersendiri. Kata sendi nama adalah antara perkataan yang menjadi masalah bagi para pelajar. Berikut disenaraikan kata sendi nama dalam bahasa Melayu yang lazim digunakan.

          di                          bagi                      umpama               hingga
          ke                         demi                     sejak                     untuk
          dari                       untuk                    terhadap               antara
          daripada               tentang                 akan                     dengan
          kepada                 seperti                  oleh                      dalam
          pada

Kata Bilangan

          Kata bilangan pula ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah kepada frasa nama. Contohnya, dua, lima belas, segala, semua, ketiga-tiga, masing-masing, dan separuh.


Kata Pascakata

          Kata pascakata hadir selepas perkataan dengan tugas-tugas tertentu. Terdapat dua subjenis kata pascakata, masing-masing ditandai dengan perkataan –nya, iaitu kata penekan, yang memberikan penegasan, dan kata pembenda, yang menukar perkataan bukan kata nama menjadi kata nama. Contoh fungsi penekan ialah sesungguhnya, bahawasanya, dan nampaknya. Contoh fungsi pembenda ialah lajunya, sakitnya, dan datangnya.
          Demikianlah huraian ringkas tentang kata tugas, yang tiap-tiap satu memerlukan huraian yang lebih lanjut. Jelas kelihatan bahawa golongan kata ini penting dalam bahasa Melayu kerana peranan yang dimainkan oleh tiap-tiap jenis. 

No comments:

Post a Comment